GPQ Sdn. Bhd. dengan kerjasama anak-anak syarikat di bawah Kumpulan GPQ telah menganjurkan satu sesi latihan dalaman bertajuk “Understanding E-Invoice: Requirement for Your Business” pada 18 Jun 2025 bertempat di Dewan Lawang, Felda Residence, Kuala Terengganu. Latihan ini diadakan sebagai persediaan awal Kumpulan GPQ terhadap pelaksanaan mandatori e-Invois yang akan dikuatkuasakan secara berperingkat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula 1 Julai 2025. Sesi ini melibatkan penyertaan ketua-ketua bahagian serta kakitangan yang terlibat secara langsung dalam urusan kewangan dan perakaunan. Antara topik utama yang dibincangkan termasuk pengenalan kepada sistem e-Invois di Malaysia, pematuhan terhadap peraturan dan piawaian yang ditetapkan, aliran serta mekanisme penghantaran e-Invois, dan pengendalian senario transaksi khusus berkaitan dengan operasi syarikat. Latihan ini telah disampaikan oleh jurulatih bertauliah, Encik Muhammad Aminudin bin Awaludin, dengan objektif utama untuk meningkatkan kefahaman serta memastikan kesiapsiagaan organisasi dalam melaksanakan sistem e-Invois secara menyeluruh dan efisien, selaras dengan garis panduan terkini pihak berkuasa. Kumpulan GPQ kekal komited memperkukuh tadbir urus korporat dan menyokong agenda pendigitalan selaras dengan kehendak pematuhan negara.
Copyright 2023. All rights reserved.
Powered by Husa Network Sdn Bhd