GPQ Sdn. Bhd. berbesar hati menerima lawatan kerja daripada YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia ke tapak Projek Menaiktaraf Jambatan Merentasi Sungai Marang di laluan FT003, Marang, Terengganu pada 14 Julai 2025. Lawatan ini adalah bertujuan untuk meninjau perkembangan terkini salah satu projek infrastruktur utama yang sedang giat dilaksanakan di Pantai Timur. Turut hadir ialah YB Dato' Haji Hanafiah bin Mat, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu; YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya; YBrs. Ir. Dr. Hasli bin Ibrahim, Pengarah JKR Terengganu; YBrs. Ir. Hajah Atikah binti Zakaria@Ya, Pengarah Kanan Cawangan Jalan; YBrs. Ir. Mohamad Sharip bin Wahijan, Pengarah Pakar Kejuruteraan Jalan dan Jambatan; YBrs. Ir. Haji Mazlan bin Mustapha, Pengarah Projek JKR; YBrs. Haji Noor Mohd Suhaimie bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn. Bhd; serta pegawai-pegawai daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia, Unit Projek Khas Zon Timur 1, JKR Negeri Terengganu, JKR Daerah Marang dan barisan pengurusan serta pasukan projek GPQ-LBGE Joint-Venture. Projek ini mula dilaksanakan pada 9 Disember 2021 dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun 2027. Sehingga 30 Jun 2025, kemajuan fizikal projek telah mencapai 54.70%. Skop utama kerja melibatkan pembinaan jambatan baharu sepanjang 220 meter bagi menggantikan jambatan lama merentasi Sungai Marang, selain menaiktaraf 1.5km jajaran jalan sedia ada melibatkan lorong tambahan serta kerja-kerja berkaitan. Jambatan baharu ini bukan sahaja direkabentuk dengan mengambilkira aspek keselamatan dan kelancaran lalu lintas, malah turut menepati keperluan komuniti nelayan yang menyediakan laluan bawah jambatan yang lebih tinggi dan selamat untuk kapal nelayan Zon C. Ianya dipercayai mampu menyokong pertumbuhan ekonomi setempat khususnya dalam sektor perikanan dan logistik maritim di daerah Marang. Projek ini turut menggunakan pendekatan Building Information Modelling (BIM) bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan serta pengurusan aset yang lebih menyeluruh dan efisien. GPQ komited untuk membangunkan infrastruktur yang selamat, cekap dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara. Pelaksanaan projek ini turut mencerminkan kerjasama erat semua pihak ke arah pembangunan yang inklusif dan lestari, selaras dengan aspirasi negara menuju masa depan yang lebih berdaya tahan dan progresif.
Copyright 2023. All rights reserved.
Powered by Husa Network Sdn Bhd