Delegasi SM-WEZ yang diketuai oleh Jurutera, Encik Nik Muhammad Izzat bin Azhar telah mengadakan lawatan ke tapak Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kuala Nerus, Terengganu pada 12 Jun 2025. Turut hadir ialah Encik Khairul Nizam bin Khalid Mirza, Naib Presiden Strategi Korporat dan Perancangan Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc); Encik Mohd Firdaus bin Abd Rahman, Naib Presiden Strategi Korporat dan Perancangan Kumpulan (Teknikal) Terengganu Inc; Cik Zaidhuha binti Omar, Naib Presiden Pejabat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc; wakil-wakil daripada pihak konsultan, barisan pengurusan dan pasukan projek GPQ. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada kunjungan rasmi pihak SM-WEZ ke Terengganu Inc. Ia turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pandangan serta memperkukuh pemahaman terhadap peranan Terengganu Inc sebagai syarikat pemegang pelaburan strategik milik penuh Kerajaan Negeri Terengganu, khususnya dalam menerajui aktiviti komersial, pembangunan sosio-ekonomi dan pemerkasaan pelaburan asing serta domestik. Sepanjang lawatan, taklimat ringkas mengenai projek telah disampaikan oleh Encik Mohd Zulkifli bin Yusof, Ketua Bahagian Projek GPQ. Taklimat tersebut merangkumi perkembangan semasa projek, cabaran teknikal yang dihadapi serta pendekatan strategik yang diambil oleh GPQ bagi memastikan kelestarian pantai dan keselamatan komuniti setempat. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada delegasi SM-WEZ atas kesudian mengadakan lawatan ini. Diharapkan lawatan ini dapat membuka ruang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkukuh pembangunan mampan serta memperluas potensi pelaburan di Negeri Terengganu.
Copyright 2023. All rights reserved.
Powered by Husa Network Sdn Bhd