Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli telah mengadakan lawatan ke tapak Projek Pengawalan Hakisan Pantai, Kuala Nerus, Terengganu pada 24 Mei 2025. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau perkembangan semasa projek dan mengenal pasti cabaran serta isu-isu utama yang dihadapi di peringkat pelaksanaan. Turut hadir ialah YB Dato’ Haji Hanafiah bin Mat, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu; YB Ustaz Shaharizukirnain bin Abd Kadir, Ahli Parlimen Setiu; YBrs. Ir. Mohamad Radzi bin Abdul Talib, Ketua Pengarah JPS; YBrs. Ir. Ts. Gs. Osman bin Abdullah, Pengarah JPS Negeri Terengganu; YBhg. Dato’ Haji Rosli bin Latif, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu; Tuan Haji Noor Mohd Suhaimie bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn. Bhd.; pegawai-pegawai daripada PETRA, Unit Pelaksanaan Projek Persekutuan Terengganu (UPPPT), JPS Negeri Terengganu, JPS Kuala Nerus, Konsultan projek, barisan pengurusan dan pasukan projek GPQ. Sebagai kontraktor utama, GPQ bertanggungjawab terhadap kerja-kerja penambakan pasir (beach nourishment) sepanjang 2 km serta pembinaan 16 struktur pemecah ombak dari Pantai Mengabang Telipot hingga ke Pantai Batu Rakit. Sehingga kini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 24.5% dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari 2027. GPQ kekal komited untuk memastikan segala aspek teknikal, keselamatan, dan kelestarian alam sekitar dititikberatkan dalam setiap fasa pelaksanaan, selaras dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam melindungi garis pantai dan menjamin kesejahteraan komuniti di pesisir pantai Kuala Nerus.
Copyright 2023. All rights reserved.
Powered by Husa Network Sdn Bhd