Program "GPQ Group Mega Fire Drill 2025" yang diadakan pada 24 Julai 2025 bertempat di Kuari GPQ, Kampung Sungai Serai, Bukit Payong, Terengganu telah berjaya dilaksanakan dengan penuh komitmen dan kesungguhan oleh seluruh warga kerja Kumpulan GPQ. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam membudayakan keselamatan sebagai keutamaan di setiap lapisan operasi, selaras dengan prinsip kerja selamat, cekap dan bertanggungjawab. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB LSr. Haji Zaharuddin bin Zahid, Pengerusi Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. yang mewakili YB Ustaz Haji Hishamuddin bin Abdul Karim, Pengerusi GPQ Sdn. Bhd. Kehadiran beliau menyerlahkan sokongan padu kepimpinan tertinggi terhadap usaha GPQ dalam memperkukuh budaya keselamatan dan kesiapsiagaan warga kerja terhadap sebarang kemungkinan kecemasan di tempat kerja. Antara pengisian utama program adalah termasuk sesi perkongsian ilmu keselamatan menerusi "Toolbox Talk Briefing" oleh Encik Wan Dzulkifli bin Wan Yusoff serta lafaz lkrar Integriti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang diketuai oleh Encik Abdul Mubin bin Sazali, Pegawai Keselamatan GPQ. Latihan simulasi kemalangan dan kebakaran turut dilaksanakan dalam suasana sebenar di tapak kuari dan dikendalikan secara langsung dengan kerjasama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) Terengganu, selaku agensi utama dalam pelaksanaan simulasi. Turut hadir memberikan sokongan ialah agensi jemputan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu, Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu, serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan GPQ dan wakil daripada Kumpulan Terengganu Inc iaitu EPIC Berhad dan TDM Berhad, yang turut menyaksikan simulasi dan perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan risiko di tapak operasi. Pelaksanaan latihan ini bukan sahaja memberi pendedahan praktikal kepada warga kerja mengenai prosedur kecemasan, malah turut menguji kecekapan sistem komunikasi, koordinasi pasukan serta keberkesanan peralatan keselamatan yang tersedia. Ia menjadi bukti jelas bahawa GPQ sentiasa meletakkan aspek keselamatan sebagai keutamaan dan bersikap proaktif dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat, sistematik dan teratur. Dengan semangat kerjasama serta sokongan padu daripada semua pihak yang terlibat, GPQ terus melangkah maju dalam memperkukuh budaya kerja selamat, sekali gus membentuk organisasi yang lebih bersedia, cekap dan bertanggungjawab.
Copyright 2023. All rights reserved.
Powered by Husa Network Sdn Bhd